Khamis, 11 Oktober 2012

Menyelusuri Teori Psikologi Dalam Novel Azizi Hj Abdullah


MEMOIR SEORANG GURU

a) PENGENALAN
Teks yang menjadi bahan kajian saya adalah novel hasil nukilan penulis terkenal iaitu, Azizi Hj Abdullah. Novel ini berkisarkan latar kehidupan seorang guru pencen yang mengingati kembali zaman dia mengajar dan menginsafi segala kekhilafannya dalam mendidik anak muridnya. Kekesalan yang menebal dalam dirinya membuatkan dia menentang keras hajat anak perempuan tunggalnya yang ingin mengikut jejaknya menjadi seorang pendidik. Dia takut anaknya akan menjadi seperti dirinya, seorang guru yang tidak sabar dan ikhlas dalam mendidik anak muridnya. Teks ini setebal 299 muka surat, walaupun agak nipis tetapi isinya amat padat dan cerita amat berkesan. Teori yang cuba dikupas dalam novel ini adalah teori psikoanalisis. Ia lebih kepada mengkaji watak utama dalam cerita ini, iaitu Ustaz Sunan dan beberapa lagi watak sampingan seperti Kamariah, Mat, Milhad , Sakinah, Midun dan beberapa watak yang lain. Pengisian cerita ini banyak bermain dengan emosi wataknya yang kadang-kadang bertukar moodnya mengikut jalan cerita yang selalu berubah latar tempatnya. Oleh sebab itulah amat penting untuk kita mempelajari ilmu psikologi watak agar kita dapat Memperkenalkan asas-asas ilmu psikologi dan hubungannya dengan penulisan kreatif. Meneliti watak-watak contoh daripada karya kreatif (naratif dan dramatic) yang baik sebagai kajian kes. Membina teks penulisan karya fiksyen, naskhah drama dan filem menggunakan watak-watak psikik seperti mutisme, konfubulasi, skinzofrenia paranoid, skinzofrenia catatonic dan lain-lain. Mengkaji masalah-masalah kejiwaan watak, sama ada dalam karya atau kehidupan sebenar. Memberikan kefahaman dalam hubungan dengan pembinaan dan pengembangan watak di dalam karya. Meneliti hubungan antara budaya dan psikopatologi masyarakat Melayu khususnya dan Malaysia umumnya.
Terdapat empat teori Psikologi yang paling dominan iaitu:
a)      Psikoanalisis
b)      Behaviorisme
c)      Psikologi Kognitif
d)     Psikologi Humanitik/fenomenologi
e)      Psikologi Gestalt
f)       Psikologi Neorobiologi

2)Sinopsis teks :-)

~ Novel ini mengisahkan tentang seorang guru/ ustaz yang membantah keputusan anaknya iaitu Kamariah untuk menjadi sebagai seorang pendidik sepertinya. Hal ini kerana dia berasakan profesion sebagai guru tidak mendatangkan keberkatan dan jauh sekali untuk mencapai tahap kemurabbian. Semua ini adalah disebabkan pengalaman yang pernah beliau lalui dan tidak inginkan anaknya melalui apa yang dia lalui sepanjang mencurahkan bakti mendidik anak bangsa. Dalam novel ini, penulisnya bijak menyusun ayat dan kata-kata yang ada ayat tersirat dan tersuratnya.  Penulis menggunakan teknik imbasan yang begitu berkesan dalam menceritakan pengalaman ustaz mendidik setiap watak anak muridnya yang berbeza. Bermula dengan kisah Mat yang tercucuk selumbar kayu sehingga ditembak mati oleh ayahnya sendiri akibat tidak mahu Mat tersiksa menanggung kesakitan. Permulaan kisah ini ustaz diibaratkan  sebagai masyarakat yang tidak celik dan mundur sehingga beliau tidak ingin bertanggungjawab dalam masyarakat sebegini. Kemudian pembaca dibawa menghayati kebencian ustaz kepada anak-anak muridnya yang mempunyai pelbagai ragam dan kisah yang mengundang simpati seperti kisah Sakinah yang bermata juling, kisah Mihad yang suka menangkap katak untuk dijadikan umpan haruan, kisah Alias yang tercedera telinganya akibat ditampar oleh ustaz serta kisah Mohd.Dhuha yang rajin mengerjakan solat sunat Dhuha dan meninggal akibat dilanggar  kereta. Penceritaan novel ini berakhir apabila ustaz yang sedang dalam perjalanan ke Johor untuk menemui Kamariah yang lari dengan menumpang di rumah pak cik selepas tiadanya kata putus daripadanya. Klimaksnya apabila ustaz menghadapi kemalangan dalam perjalanan tersebut. Semasa dirawat di sebuah hospital, ustaz itu telah berjumpa dengan bekas-bekas pelajarnya seperti Sakinah, Alias dan Midun. Mereka bertigalah yang telah merawat Ustaz itu, selepas itu Ustaz  Sunan seakan menyesali setiap tingkah lakunya terhadap setiap anaknya muridnya dan berasa malu atas setiap kelakuaannya.


3)Teori :- )  
Sejarah Psikologi
Psikologi merupakan disiplin ilmu wujud  sekitar hujung tahun 1800-an tetapi ada yang menyatakan  ilmu tersebut telah muncul sejak era Plato dan Aristoteles. St. Augustine  (354-430) telah dianggap sebagai tokoh dalam psikologi moden kerana perhatian dan kajiannya yang mendalam tentang fenomena kejiwaan.  Rene Descartes (1519-1650) pula mengetengahkan teori bahawa manusia adalah mesin yang dapat dipelajari sebagaimana mesin lainnya dalam konteks kerja refleks. Banyak lagi ahli falsafah lain pada abad ke-17 dan ke-18 yang memberi sumbangan dalam bidang psikologi seperti Thomas Hobbes, John Locke, Immanuel Kant dan David Hume. Bagaimanapun pada era ini psikologi hanya bersifat wacana belum menjadi ilmu pengetahuan.  Untuk pengetahuan kita semua kajian terhadap kejiwaan dan kemanusiaan bermula pada zaman keemasan Greek sekitar sebelum masihi. Beberapa ahli falsafah Yunani telah mengkaji tentang kewujudan dan keberadaan entiti manusia. Antaranya,  Plato – menegaskan  manusia adalah binatang yang rasional dan melalui pentaakulan sahaja mereka boleh berfikir tentang logik. Oleh itu manusia berupaya mengetahui kewujudannya, menyedari tentang kebenaran dirinya serta memahami alam sekitarnya. Sementara Aristotle  berpendapat  Manusia hanyalah satu organisma biologi iaitu bahan mentah sahaja. Keseluruhan organisma yang bernama manusia merupakan gabungan sistem-sistem yang berinteraksi sesama sendiri. Ini bermakna akal, fikiran dan perasaan adalah yang organisma yang menjadi manusia. Sedangkan, Rene Descartes  menerapkan  Konsep dualisme iaitu jiwa dan jasad yang terpisah tetapi berinteraksi sesama sendiri. Jasad manusia ialah satu sistem fizikal dan pergerakannya adalah pergerakan autonomik. Sigmund Freud  pula  mengemukakan teori psikoanalisis yang masih kekal hingga ke hari ini. Teori tentang jiwa manusia yang relevan- satu kaedah rawatan sakit jiwa- melihat manusia sebagai satu organisma yang dipengaruhi oleh kuasa dalaman. Ivan Pavlov  pengasas Teori Behaviurisme atau  buah fikiran dan pengetahuan diperoleh secara empirikal melalui organ-organ deria manusia-konsep tabula rasa. Dengan kata lain, manusia berdasarkan teori ini dilahirkan tanpa mempunyai apa-apa dalam jiwa mereka.
Apa yang saya dapati , teori yang dipakai dalam novel nukilan Azizi Hj Abdullah adalah teori psikoanalisis.

TEORI PSIKOANALISIS:-

 Teori psikoanalisis telah diasaskan oleh Sigmund Freud pada sekitar tahun 1956 hingga 1939 yang menganalisis tentang psikologi dalam (depth piscology). Melalui kajiannya beliau mendapati alam bawah sedar manusia sangat penting.  Beliau menyamakan struktur akal manusia sama seperti bongkah ais (iceberg) dengan alam bawah sedar mempunyai peratus yang sangat dominan. Oleh itu, beliau membahagikan fikiran manusia kepada tiga struktur antaranya, sedar (conscious) bermaksud menyedari dan mengetahui hal yang terjadi kepadanya dan juga persekitarannya. Struktur kedua, bawah sedar (preconcious), idea atau ingatan mudah disedari apabila diperlukan. Struktur ketiga pula, tidak sedar (unconsious) iaitupengalaman, daya ingatan dan hasrat yang tidak disedari oleh manusia. Oleh disebabkan fikiran tidak sedar menguasai sebahagian besar ruang akal manusia, maka unsur ini memainkan peranan besar mencorakkan tingkah laku manusia. Alam tidak sedar dianggap sebagai titik yang menentukan personaliti manusia.  Pada 1920-an berdasarkan teori iceberg tersebut, Freud mengemukakan struktur tentang anatomi akal manusia yang dikenali sebagai ID, EGO dan SUPEREGO.

a)      ID
~ Dianggap sebagai satu elemen struktur yang semulajadi yang diwarisi dalam diri manusia. Id merupakan satu gejala paras sedar yang tidak teratur, tidak rasional dan penuh dengan orientasi berkehendakkan kepuasan. Id dikatakan bertujuan mendapatkan kepuasan secara mendadak.

b)      EGO
~ ia berkembang secara berperingkat-peringkat sebagai elemen utama pada tahap sedar. Ego memerlukan tingkat kemajuan dan boleh menyesuaikan fungsinya mengikut keadaan. Perkembangannya melalui hubungan sosial dan kesannya dengan orang lain serta keadaan alam sekelilinginya. Ego akan membentuk satu fungsi penting dalam mempengaruhi tingkah laku dan personaliti individu.

c)       SUPER EGO

~ merupakan sturktur yang ketiga dalam pemikiran tingkah laku psikoanalisis. Super ego seperti perasaan yang lahir dari dalam hati individu. Perlakuan moral akan membentuk personaliti dalam diri dalam meningkatkan keupayaan berfikir. Super ego bertindak mengawal ego dan id melalui suasana, perisitiwa, persepsi, pemikiran, emosi, perasaan , sikap , tingkah laku. Disebaliknya sentiasa wujud imej pengawalan.

4)   APLIKASI TEORI DALAM KAJIAN TEKS

Novel Memoir Seorang Guru bagi saya ia adalah sebuah karya yang sarat dengan teori psikoanalisis kerana jika dihayati satiap perwatakan watak kebanyakkan mengalami gangguan emosi yang sangat mendalam. Berdasarkan teori ini, struktur akal manusia disamakan   seperti bongkah ais (iceberg) dengan alam bawah sedar mempunyai peratus yang sangat dominan.
Dapat kita lihat melalui watak Cikgu Sunan, dia sangat membenci dengan kerjayanya sehingga menentang keras keputusan anaknya, Kamariah, untuk menjadi pendidik seperti dia suatu masa dahulu. Kita dapat melihat pada petikan novel di muka surat 24:-
    “ bapa tidak mahu Kamariah jadi macam bapa!”
Tapi, Kamariah cepat menjawab bahawa dia bukanlah aku dan aku bukanlah dia walaupun dia anakku dan aku bapanya.

Berdasarkan petikan atas, dapat kita lihat bagaimana pengarang menerapkan elemen teori psikoanalisis (teori ice berg) iaitu sedar(consiuos) dimana ia Menyedari dan mengetahui hal yang terjadi kepadanya dan juga persekitarannya. Begitulah dengan watak Cikgu Sunan bertegas menentang keputusan anaknya dan menceritakan tentang pengalamannya supaya anaknya berubah fikiran untuk menjadi cikgu.

Strukrur yang lain pula ialah bawah sedar( preconsiuos). Watak Cikgu Sunan dapat kita lihat apabila dia berperasaan dia sedang menceritakan pengalamannya kepada anaknya padahal dia bermonolog sendirian. Buktinya pada akhir novel ini, pada muka surat 201.
Aku  Cuma ketawa . banggalah jika anak sendiri berkata begitu. Tiba-tiba aku tersedar pula, apakah aku ini sebenarnya sudah tidak kuat lagi berfikir? Apa yang aku ceritakan pada Kamariah, hanyalah putaran semula kisah aku puluhan tahun yang lalu. Bukan itu saja, kisah ini tidak pernah pun sampai ke telinga Kamariah menarik balik hasratnya memohon jawatan guru.
            Seterusnya struktur tidak sedar (unconsious), pengarang telah menerapkan struktur ini ketiga watak Cikgu Sunan telah mengalami kemalangan dan dihantarkan ke hospital. Dia telah dirawat oleh bekas-bekas  pelajarnya namun dia bersangka buruk bahawa mereka semua itu mahu membalas dendam atas perilakunya terdahulu. Dia sering terbayangkan dia akan disakiti oleh beksa pelajarnya. Kita dapat lihat pada contoh petikan novel di muka surat 221:-
“ dahsyat,” kata doktor sambil menutup semula mulutnya dan menyarung sarung tangan dengan cepat.
“ doktor, adakah dia kurang darah? Ambillah darah saya. Ambillah walaupun saya tinggal setitik”, kata lelaki sengau lagi dengan rayuan yang sanagt simpati.
“ bukan itu. Tapi virus hasad sangat kuat menyerangnya”.
                        Aku mahu melenting bangun tetapi aku terasa aku tidak ada apa-apa daya. Kepalaku seperti ditekan. Kakiku seperti diikat dan ada matahri putih di atas mukaku memancar cahayanya menyilau tajam.
Selain itu, kita dapat lihat pada petikan yang lain pula pada muka surat 247:-
Aku yang tadinya menyedari dalam katupan pelupuk mataku berada di sebuah padang rumput menghijau, rupa-rupanya di bilik khas yang karpetnya hijau. Tidak ada pesakit lain. Tidak ada pula jongos yang menunggu dan tidak ada doktor yang merawat.

Cikgu Sunan juga bersikap tidak adil apabila dia tidak menyukai kerjayanya sehinggakan anak muridnya menjadi mangsa keadaan, dapat kita lihat a pada petikan di muka surat 25:-
            Maka, kerana itu bapa terlupa apa itu pendidik atau murabbi. Bapa menemui bosan setiap hari dan membenci mereka yang tak sepatutnya bapa benci. Ada baiknya kalau bapa beritahu untuk teladan engkau, Kamariah, semoga engkau menolak profesion yang engkau kejar ini.
Pengarang juga menyelitkan unsur id, merujuk kepada watak Cikgu Sunan yang selalu  bertindak atas prinsip keseronokan yang tidak mengenal sebarang nilai. Baginya itu  mempunyai naluri keseronokan, kenikmatan dan kepuasan yang sukar dibendung. Id juga merupakan wadah desakan yang berpunca daripada kuasa libido yang merupakan punca segala tindakan, kehendak dan hasrat manusia. Dapat kita lihat pada sikap Cikgu Sunan yang dia cepat panas baran dan menampar pelajarnya. Pada petikan novel di muka surat 49:-
“ kamu nak main-mainkan saya, ya? “ bapa menahan marah apabila melihat dia tersenyum. Hati bapa terasa sangat pedih.
“Tak cikgu. Saya...”
“ sudah!” bapa menjerkah kuat. Serentak, satu tamparan hinggap di telinga kanan Alias. Bapa sedar ayunan bapa adalah ayunan kebencian dan bapa terasa puas.
Contoh yang lain pula pada petikan di muka surat 90 ketika Cikgu Sunan bengang dengan muridnya bernama Midun.
“ kamu sudah saya sakit, ya?”
Midun merenung bapa dengan renungan aneh. Mulut rabitnya cuba hendak ditutpnya.
“ kamu seronok saya sakit, ya?”
Midun melihat tapak tangan bapa yang bengkak. Bengkaknya berdenyut entah kali ke berapa dan kali ini bapa cukup terasa sakitnya. Dengan penuh kebenciaan, bapa menampar Midun agar kuat sehingga dia hampir-hampir terduduk. Bapa lihat pipinya berbalur lima jari. Kemerah-merahan.
Berdasarkan petikan ini, kita dapat lihat perwatakan Cikgu Sunan yang cepat marah dan cuba melepaskan kemarahannya dengan melakukan sesuatu perbuatan yang mampu memuaskan hati amarahnya.
Unsur ego juga ada diselitkan oleh pengarang. Apa yang dapat saya maksudkan mengenai ego ialah mengenai psiki yang berdasarkan prinsip realiti yang bertujuan mengharmoni dan menapis kehendak-kehendak id yang berdasarkan prinsip rasional dan bersandarkan pada prinsip realiti. Merujuk kepada perwatakan Cikgu Sunan kita dapat lihat sikap Cikgu Sunan berubah tatkala mengetahui berita mengenai Midun yang ingin berpindah ke sekolah lain. Dengan berpandukan petikan novel di muka surat 115:-
“ Ya, Midun dah banyak berubah”. Tiba-tiba melompat kata-kata bapa yang tidak bapa rancang. Bapa tidak tahu mengapa bapa berkata begitu. Bapa mengilas tangan  ke belakang kerusi. Tangan bapa terasa disentuh. Terasa diraba-raba. Bapa terasa Midun sengaja menghimpitkan duduknya dekat bapa. Alangkah seramnya apabila bapa terasa tangan digenggan kejap.
 Unsur yang seterusnya ialah unsur superego, Struktur akal fikiran manusia yang bertanggungjawab mengawasi ketahanan ego daripada mengikuti keseluruhan kehendak id sekaligus mendorong ego menerima nilai dan matlamat akhlak. Jelas-jelas dapat kita lihat pada watak Cikgu Sunan dimana beliau berubah sikapnya apabila melihat keprihatinan Midun melawatnya di hospital. Dia pada mulanya menyimpan dendam pada Midun dan perasaan itu membuak-buak dalam hati apabila dia berpendapat Midunlah penyebab dia terkena paku payung dan  dimasukkanke hospital. Namun dia berubah sikapnya sekelip mata malah mampu menerima Midun. Kita dapat lihat suasana ini di petikan muka surat 93.
Midun menyeluk saku seluarnya. Dia seperti hendak mengeluarkan ketulan-ketulan yang ada dalam sakunya, tetapi tidak jadi. Kemudian, tangannya lambat-lambat meraba bibir katil, meraba ke paha bapa dan kemudian memegang tangan bapa. Sungguh suam tangannya, tetapi merenung bekas tikaman paku payung yang mengakibatkan tangan bapa bengkak-bengkak kemerahan. 
Selain itu pada petikan di muka surat 93:-
Ya ALLAH! Sebelah dunia bapa terasa malu. Bapa mengusap rambut Midun. Bapa dongakkan mukanya supaya matanya bertentangan dengan mata bapa. Ya ALLAH...air mata Midun telah membasahi paha bapa. Dan sekali gus bapa merangkul erat-erat. Degup dadanya tersangat kencang seperti memberitahu bahawa dia sangat menyayangi bapa dan bapa sudah tersilap besar.

5) KESIMPULAN
Apa yang saya dapat melalui kajian teks yang dilakukan ialah saya mengenali apa yang dimaksudkan dengan id, ego, superego. Ketiga-tiga ini merupakan satu unsur  yang penting dalam teori psikoanalisis berdasarkan teori ice berg yang diasaskan oleh Sigmud. Dalam novel karya Azizi Hj Abdullah banyak diterapkan unsur  berpandukan pada watak utama novel ini iaitu Cikgu Sunan. Malah pengarang juga ada membahagikan pemikiran watak kepada tiga bahagian iaitu  sedar, bawah sedar dan tidak sedar. Pengarang bijak menyelit teori psikoanalisis ini bagi memantapkan lagi jalan ceritanya. Kita dapat  lihat bagaimana sikap Cikgu Sunan yang menentang keputusan anaknya untuk menjadi cikgu, sikap dan perilaku Cikgu Sunan dalam mendidik anak-anak muridnya yang kasar dan boleh dikatakan melampaui batas. Cikgu Sunan juga dapat digambarkan sebagai seorang cikgu yang tidak bertanggungjawab dan tidak serius dalam memberikan ilmu. Cara dia mengajar pun sambil leka dan dia banyak masa yang terluang. Saya boleh katakan novel ini sarat dengan konflik emosi yang perlu dikupas lagi kalau kita betul-betul meneliti karya ini. Setiap  watak yang diwujudkan mempunyai masalah konflik masing-masing dan saling berbeza permasalahannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan