Khamis, 14 Jun 2012

.....:: kEcelaruan Gender dALAm Kalangan Remaja..:




                  

KECELARUAN GENDER DALAM KALANGAN REMAJA

Fakta Nombor            :           kajian mengenai homoseksual
                                                                      230 Responden kecelaruan gender
                                                                      80% siswa terbabit dalam hubungan sejenis.
Kecelaruan gender dapat disimpulkan sebagai suatu kekaburan atau ketidak pastian tentang ciri-ciri atau identiti yang perlu ada pada diri. Kecelaruan gender yang berlaku dalam kalangan remaja semakin membimbangkan semua pihak. Remaja seakan melupai tanggungjawab asal mereka sebagai anak dan tonggak negara dalam membangunkan negara pada masa hadapan. Mereka juga lupa membangunkan diri mereka sebagai manusia yang berguna dan berupaya menjadi generasi yang liberal. Selain itu, kecelaruan diertikan perbuatan atau amalan yang tidak selari dengan norma-norma positif dalam kehidupan. Dalam konteks ini, remaja ini dikatakan sudah hilang pertimbangan diri iaitu membina idola dan diva yang bukan fitrah sifatnya. Remaja kita juga begitu mengagumi proses pembaratan secara melulu dan hilang pertimbangan kenegaraan sehingga menyebabkan imej dirinya tidak lagi dapat diharap sebagai penyumbang berkesan terhadap pembangunan negara. Remaja yang terjebak dalam kancah ini bakal menjadi beban kepada masyarakat dan negara kita. Sehubungan itu, kita sebagai satu masyarakat yang berteduh bawah bumbung yang sama harus memainkan peranan bagi menyelesaikan fenomena ini daripada terus membiak dalam kalangan remaja kita. Cari faktornya dan bendunglah dengan sebaik mungkin, mencegah lebih baik daripada merawat.

Kecelaruan gender atau dikenali disforia gender didefinisikan sebagai keadaan dimana penghayatan individu itu bercelaru antara perasaan gender sesama sendiri dengan anggota jantina kelaminnya. Tetapi, kecelaruan gender yang paling ketara sekali ialah transeksualisme dimana individu yang mempunyai anggota kelamin tertentu berasa dia adalah golongan sebaliknya. Mengikut kajian Prof Louis Gooven, kemungkinan fenomena transeksualisme berlaku ialah satu transeksual lelaki dalam 15,000 lelaki manakala satu transeksual perempuan dalam 35,000 perempuan. Sementara itu, manifestasi fenomena transeksualisme berlaku ketika seseorang itu dalam proses pengenalan diri mengenai jantina. Dia akan berasa dirinya berbeza dengan kehendak hatinya dan kadangkala dia serba salah apabila lebih cenderung bergaul dengan individu daripada jantina sebaliknya. Secara tersembunyi, dia akan memakai pakaian jantina yang sebaliknya, sekali gus berasa dirinya dekat dengan jantina itu. Perasaan untuk mendekati jantina yang dianggap jantina nalurinya akan menjadi lebih ketara apabila dia memasuki alam remaja dan menghayati pergolakan hormon seksual serta mengalami ketumbesaran anggota kelamin.
Dia juga akan berasa perubahan dirinya lebih jauh daripada kehendak diri sehingga berasa tertekan. Kepada yang dapat mengawal kehendak diri, mereka akan ikut haluan masyarakat. Namun, bagi yang lebih mengikut kehendak diri, mereka akan melakukan apa juga yang difikirkan sesuai untuk menikmati naluri mereka seperti berpakaian dan mendapat rawatan yang dapat mendekatkan mereka kepada jantina diidamkan. Golongan ini sanggup melakukan apa saja yang difikirkan dapat mendekatkan kepada jantina keinginan mereka sehingga kadangkala boleh mendatangkan kesusahan kepada mereka. Mereka yang berasa tertekan dan tidak dapat mengawal diri tidak akan teragak-agak mengambil keputusan yang boleh memudarat atau memusnahkan diri sendiri seperti menjalani pembedahan perubahan anggota jantina atau membunuh diri akibat kekecewaan.
Bukan itu sahaja, fenomena  kecelaruan gender mungkin disebabkan dengan pengenalan mengenai jantina seseorang satu proses yang dinamik dan tertakluk kepada baka penentuan jantina dengan ‘sex chromosomes’ XX untuk perempuan dan XY untuk lelaki, hormon testosterone dan ‘anti-mullerian hormon’. Selain itu, ia membabitkan pelbagai faktor spesifik seperti alam sekitaran dan kesan perubahan kepada individu itu mengikut masa ketumbesaran. Proses pengenalan jantina individu adalah di otak atau minda. Justeru, penetapan jantina seseorang itu hanya menjadi nyata apabila bahagian otak yang mempengaruhi penetapan satu-satu jantina mulai terbentuk dan berfungsi. Sebagai contoh, bahagian ‘Hypothalamus’ dan ‘Pre-Optic Nucleus (PON) otak mengawal perilaku seksual dan bahagian ini lebih besar dalam otak lelaki daripada perempuan.Nukleus’thestria Terminalis’(BSTc) untuk lelaki 44 peratus lebih besar daripada perempuan. Transeksual lelaki ke perempuan mempunyai BSTc terbentuk dan bersaiz perempuan dan begitu juga sebaliknya. Perubahan ini dapat dikenali dengan ujian canggih melalui penyaringan dengan MRI. Ini boleh menentukan sama ada Disforia Gender atau fenomena transeksual itu berlaku secara semula jadi dan bukan dibuat-buat oleh individu itu.
    
Kecelaruan gender boleh dibahagikan kepada beberapa jenis. Tomboy adalah gender neutral bererti wanita perwatakan lelaki tetapi bukan pengkid atau lesbian. Dia lebih kepada sifat feminim manakala pengkid pula sedaya upaya mahu kelihatan seperti lelaki. Contohnya berbengkung di dada kerana dia bencikan bahagian badan yang menyerupai wanita, memakai pakaian longgar dan berambut pendek. Pengkid lebih tertarik untuk berhubungan seksual dengan wanita. Sementara lesbian pula tidak kelihatan seperti lelaki malah masih lagi feminim dan bernafsu terhadap sesama wanita. Mereka menerima diri mereka sebagai wanita tidak seperti pengkid , mereka masih menyukai bentuk badan wanita. Dalam hubungan seksual lesbian, salah seorang pasangan memainkan peranan dominan manakala seorang lagi bersifat lebih  pasif. Gay pula merujuk kepada lelaki menyukai lelaki. Adakalanya pasangan gay ini berketrampilan seperti lelaki kebiasaannya, tidak mengubah penampilan mereka menjadi seperti pondan.

Tomboy, pengkid, gay, lesbian atau sama erti dengannya membawa maksud yang berbeza kepada masyarakat biarpun mereka cenderung kepada gejala yang sama, homoseksual. Malah kelompok ini adalah jantina ketiga yang cuba menonjolkan identiti gender berlawanan daripada norma biologi, moral dan sosial. Berdasarkan penelitian yang dibuat, rata-rata yang terjebak dalam kancah hitam ini bermula seawal usia remaja. Mereka kebiasaannya terdiri daripada golongan yang telah hilang jati diri dan terpengaruh dengan cara hidup yang berlandaskan kebendaan semata-mata sehinggakan mereka tanpa segan silu memperdagangkan masa depan mereka. Kecelaruan gender ini mungkin disebabkan oleh beberapa faktor seperti faktor keluarga, persekitaran dan dorongan individu. Pengalaman atau trauma di alam kanak-kanak contohnya dikasari oleh ibubapa sehingga si anak beranggapan semua lelaki atau perempuan bersikap kasar, bengis dan panas baran yang memungkinkan si anak berasa benci pada golongan  itu. Selain itu, predominan dalam pemilihan identiti iaitu melalui hubungan yang renggang dengan ibu bapa. Faktor persekitaran mungkin bersangkutan dengan pergaulan dan keadaan sekelilingi. Keluarga yang terlalu mengongkong anaknya, bapa yang kurang menunjukkan kasih sayang kepada anaknya, hubungan yang terlalu rapat dengan ibunya sementara renggang dengan bapa boleh menyebabkan remaja tersalah jalan. Kecelaruan gender juga disebabkan oleh dorongan individu itu sendiri, dimana kurangnya rasa kepercayaan terhadap ibu dan saudara perempuan bagi golongan gay dan begitu sebaliknya dengan golongan lesbian. Selain itu, tarikan individu terhadap homoseksual disebabkan ketakutan pada kaum yang bertentangan jenis menyebabkan tindak balas erotik yang pasif. Namun begitu, mengikut pendapat sesetengah pihak, homoseksual bukanlah dibawa dari lahir tetapi terbina melalui pengalaman yang kompleks dalam keadaan hidup dan juga terpengaruh dengan keadaan semasa bayi, kanak-kanak, remaja dan awal dewasa. Temuramah saya dengan beberapa orang pelajar institusi pengajian tinggi mendapati fahaman yang tipis berkenaan akidah serta kurang faham akan agama yang dianuti menyebabkan mereka dengan  mudah melibatkan diri dengan aktiviti seksual dengan golongan sejenis.
Bagi pelajar-pelajar lelaki institusi pengajian tinggi ini, pendedahan yang keterlaluan dengan bahan-bahan phonografi sama ada dari video, cd, majalah serta internet mendorong mereka untuk melakukan perkara yang sama. Pada mereka melakukan hubungan jenis sesama mereka tidak perlu melibatkan tanggungjawab yang berat berbeza sekiranya mereka menjalinkan hubungan dengan kaum wanita.  Sikap berdiam diri masyarakat kita semasa timbulnya fenomena ini sebenarnya menyumbang kepada fenomena ini . Remaja yang dibesarkan dalam suasana dan persekitaran yang terdiri daripada adik-beradik lelaki juga menyumbang kepada pengaruh sikap kasar didalam diri seorang wanita itu. Hal yang demikian juga bagi seseorang lelaki yang dibesarkan didalam suasana yang sebaliknya. Asuhan yang diberikan kepada ibu bapa dan keluarga yang salah memberi kesan yang mendalam keatas individu. Kadang kala terdapat juga sebahagian ibu bapa menginginkan anak perempuan atau lelaki dan dalam keadaan separuh sedar anak dilayan seperti anak perempuan begitu juga sebaliknya. Justeru ibu bapa mempunyai tanggungjawab untuk membentuk dan mendidik anak mengikut acuan yang betul. Akan tetapi terdapat juga anak-anak yang hanya berubah apabila mereka meningkat dewasa, biasanya berlaku apabila apabila anak-anak tidak lagi tinggal dibawah jagaan keluarga seperti berkerja atau melanjutkan pelajaran. Mereka berjumpa rakan sebaya yang mempunyai naluri yang sama, maka mereka tidak segan silu menukar identiti. Inilah bahana pengaruh rakan sebaya dan persekitaran. Hasutan dan ajakan rakan-rakanyang sememangnya telah terjebak dengan isu ini sedikit sebanyak telah meninggalkan kesan kepada individu terebut. Penolakan dan penerimaan masyarakat juga tidak ketinggalan pentingnya didalam perkembangan isu lelaki lembut dan wanita keras. Kita sebagai masyarakat seharusnya dan wajib memainkan peranan dan membendung fenomena yang kian menyimpang dari landasan fitrah semulajadi kehidupan manusia. Kita tidak semestinya menyisihkan mereka daripada masyarakat, namun tidak bererti kita mengiktiraf mereka. Golongan ini seharusnya diberi kaunseling dan bimbingan serta nasihat untuk kembali ke pangkal jalan. Seaidainya kita membiarkan mereka dan menyisihkan terus mereka sudah tentu mereka terus hanyut dan semakin bercambahnya kuantiti mereka.
Bagi menangani permasalahan ini, Ibu-bapa, pihak berwajib, guru, media elektronok, media massa dan juga jawatankuasa masyarakat kesemuanya harus diberi kesedaran tentang bahayanya gejala sosial ini serta perlunya pendidikan seks di sekolah difahami secara betul menurut norma-norma masyarakat dan juga agama serta diaplikasi secara menyeluruh. Dalam konteks ini, saya berpendapat isu pendidikan seks di sekolah tidak perlu dipolitikkan tetapi difahami dan diketengahkan secara telus dan jujur oleh pihak yang bertanggungjawab bagi memastikan maklumat disalurkan secara teratur dan tepat. Kecelaruan yang sebegini serta fahaman yang terpesong berkenaan fungsi sebagai lelaki serta emosi yang bertentangan menjadikan isu pendidikan seks di sekolah harus dikaji serta disantuni dengan berhemah. Usaha dalam membendung masalah ini memerlukan tiga penggerak utama iaitu, pendidik, ibu bapa dan diri sendiri disamping itu bantuan serta sokongan daripada pihak berwajib dan masyarakat sekitar. Sepatutnya sejak pra sekolah lagi remaja harus diterapkan dengan nilai-nilai murni dan harmoni dari segi rohani dan jasmani secara tidak langsung akan mempamerkan corak tingkah laku sosial yang lebih berkualiti . kesimpulannya, masalah berkaitan kecelaruan gender ini harus diperhalusi dan dipantau dengan sebaiknya oleh semua pihak bagi menampakkan impak positif supaya negara kita menjadi maju yang gemilang, cemerlang dan terbilang.







Tiada ulasan:

Catat Ulasan